Rasulullah s.a.w. bersabda “Kiamat tidak akan berlaku selagi masih ada orang yang menyebut perkataan “Allah, Allah.” (Hadith Riwayat Imam Muslim).
Bahkan langit, bumi dan semua makhluk yang ada di langit dan di bumi bertasbih memuji Allah s.w.t.:
Isra [44] : Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah swt, dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.
Dalam sebuah hadith disebut “binatang yang tidak memuji Allah swt, akan menjadi mangsa buruan atau tangkapan, dan pokok yang tidak memuji Allah swt, akan menjadi kering atau mati.
Dunia ini stabil kerana adanya hubungan di antara manusia dengan Allah s.w.t. Keadaan bumi yang dijadikan bulat menyebabkan pada setiap masa ada sahaja manusia yang bersembahyang atau mengingati Allah. Apabila berlaku waktu malam di sesuatu kawasan dimana manusia sedang nyenyak tidur, di kawasan lain pula berlaku waktu siang dimana ada manusia yang berhubung dengan Allah melalui ibadat dan zikir.
Dalam sebuah hadith disebut, apabila Allah hendak menamatkan perkhidmatan dunia (bumi) ini, orang Islam dimatikan melalui angin.
Daripada Nawas bin Sam’an r.a. (dalam hadis yang panjang) berkata:-
Nabi s.a.w bersabda lagi: “Semasa manusia sedang menikmati kemakmuran dan kemewahan yang tersebut tiba-tiba Allah menghantar sejenis angin yang baik….lalu mengambil nyawa tiap-tiap orang yang baik – mukmin dan muslim, dan tinggallah sahaja orang-orang jahatdengan keadaan bercakaran sesama sendiri dan berhubung jenis seperti haiwan, maka pada zaman mereka inilah berlakunya hari kiamat.”Dan pada satu riwayat yang lain:“Kemudian Allah menghantar sejenis angin yang sejuk nyaman, yang datangnya dari arah negeri Syam, maka pada saat itu tidak tinggal di atas muka bumi seorang pun yang terdapat dalam hatinya seberat zarah kebaikan atau iman melainkan diambil nyawanya oleh angin itu.