Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)”, mereka menjawab: “Kami hanya beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami (Taurat)”. Dan mereka ingkarkan (Kitab) yang lain yang diturunkan kemudian daripadanya, padahal Al-Quran itu adalah benar lagi mengesahkan Kitab Taurat yang ada pada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-nabi Allah pada masa yang lalu kalaulah kamu benar-benar orang-orang yang beriman?. (Al-Baqarah:91)
Ketika Rasulullah sa.w. berdakwah dan menyeru golongan Yahudi di Madinah supaya beriman kepada Al-Quran. Mereka mengatakan bahawa mereka hanya bertaklid atau patuh kepada kitab yang telah diturunkan kepada mereka sahaja iaitu Taurat dan Injil. Mereka kufur dan enggan bertaklid atau patuh kepada ajaran Al-Quran, sedangkan Al-Quran adalah benar, malah Al-Quran mengesahkan, membenarkan dan memperakui apa yang terkandung di dalam kitab-kitab mereka.
Sebenarnya kepatuhan mereka terhadap kitab mereka adalah tidak benar, kerana jika benar mereka beriman kepada kitab yang diturunkan kepada mereka, mengapa mereka membunuh 70 orang rasul-rasul mereka. Yang sebenarnya, mereka hanya beriman kepada hukum yang mereka ingini sahaja, dan mengatakan bahawa yang lain adalah tidak secocok dengan zaman mereka.
…….Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya? (Baqarah:87)
Antara rasul yang mereka bunuh ialah Nabi Zakaria dan anaknya Nabi Yahya.
Kisah Pembunuhan Nabi Zakaria
Diceritakan apabila Nabi Zakaria dikejar oleh orang-orang Yahudi, maka sampailah Nabi Zakaria dekat sebatang pokok. Oleh kerana dia tidak ada peluang untuk melarikan diri lagi, maka dia pun meminta perlindungan dengan berkata kepada pokok itu, “Wahai pokok, masukkanlah aku ke dalammu!”.
Sebaik sahaja pokok itu mendengar kata-kata yang ditujukan kepadanya, maka pokok itu pun membuka dadanya dan dapatlah Nabi Zakaria bersembunyi di situ. Tetapi malangnya sedikit kain Nabi Zakaria telah tersepit dan dapat dilihat dari luar pokok tersebut. Perkara ini telah diketahui oleh Iblis, lalu dia menyamar sebagai seorang lelaki tua dan memberitahu orang-orang Yahudi itu supaya menggergaji pokok tersebut untuk membunuh Nabi Zakaria yang bersembunyi di dalam pokok tersebut. Akhirnya orang-orang Yahudi pun melakukan apa yang disuruh oleh Iblis itu. Perkara ini terjadi disebabkan Nabi Zakaria memohon perlindungan pada pokok tersebut dan terlupa memohon perlindungan daripada Allah S.W.T., sehingga menyebabkan kebinasaan dirinya dibelah dengan gergaji.