Atau siapa dia yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah swt menahan rezekiNya? (Tidak ada sesiapapun), bahkan mereka (yang musyrik itu) kekal terus dalam keadaan sombong angkuh serta melarikan diri (dari kebenaran). (Mulk:21)
Hanya Allah swt yang memberi rezeki kepada manusia. Jika dia menahannya, tiada siapa yang dapat memberikan rezeki kepada manusia.
Kadangkala manusia tidak menghargai dan menghormati rezeki yang diberikan kepadanya. Mereka memalingkan muka daripada rezeki atau makanan yang dihidangkan dihadapan mereka. Mereka bersikap seperti “lembu kenyang” yang tidak bersungguh untuk makan. Ini adalah sikap tidak menghormati tuan rumah yang telah menghidangkan makanan kepada tetamunya. Sepatutnya sebagai tetamu, mereka perlu makan bersungguh-sungguh apabila dihidangkan.
Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur) dan apabila dia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar. (Fussilat: 51)
Rezeki juga mempunyai maruah dan perlu dihormati. Rasulullah saw sendiri apabila makan, Baginda akan makan sehingga licin pinggannya. Selain itu Rasulullah saw menyuruh kita mengutip makanan yang terjatuh:
Dari Jabir r.a., Sabda Rasulullah saw, “Apabila jatuh sebahagian (kecil) makanan seorang dari kamu, ambil dan buang bahagian yang terkena kotoran dan makanlah ia, dan jangan tinggalkan ia untuk syaitan, dan jangan dia menyapu tangannya dengan kain sehingga dia menjilat jarinya dahulu kerana dia tidak mengetahui pada makanannya, bahagian mana yang terdapat keberakartan” (HR Muslim)
Allah swt juga berkuasa menghilangkan air dari muka bumi ini dan tiada siapa yang dapat memberikan air kepada manusia selain Allah swt.
Katakanlah lagi: Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap (di telan bumi), maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?. (Mulk:30)