(Mereka bukan sahaja mendustakanmu) bahkan mereka juga mendustakan hari kiamat; dan Kami telah sediakan bagi sesiapa yang mendustakan hari kiamat itu, api yang menjulang-julang. (Furqan:11)
Golongan kafir pada zaman Rasulullah s.a.w. tidak percaya tentang kewujudan Hari Kiamat, sedangkan perkara ini ada diceritakan dalam kitab-kitab terdahulu iaitu Taurat dan Injil. Begitu juga golongan kafir pada zaman sekarang, mereka juga tidak percaya adanya hari kebangkitan semula selepas kematian.
Tentang adanya hari kiamat ini, bukan sahaja syariat yang memberitahu, bahkan akal juga memberitahu. Dari segi akal fikiran manusia, hari kiamat perlu ada untuk memeriksa dan mengadili amalan kita terhadap perintah Allah swt. samada telah disempurnakan atau sebaliknya.
Kata ulama hari kiamat ditegakkan di bumi ini juga dan Padang Mahsyar itulah Padang Arafah, cuma ia telah diubahsuai dan gunung telah diratakan menjadi seperti sekeping roti.
…dan Kami telah sediakan bagi sesiapa yang mendustakan hari kiamat itu, api yang menjulang-julang. (Furqan:11)
Pada hari Kiamat Allah s.w.t akan membawa makhluk yang bernama neraka itu ke Padang Mahsyar dan ia diikat dengan 70 ribu rantai, setiap rantai ditarik oleh 70 ribu malaikat.
Dari Abdullah bin Mas’ud r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:“Dibawa Neraka jahanam pada hari itu dengan tujuh puluh ribu tali penarik, pada tiap-tiap satu tali penarik ada tujuh puluh ribu Malaikat menariknya. (Bukhari)
Apabila Neraka itu melihat mereka (mangsa neraka) dari tempat yang jauh, kedengaranlah mereka (mangsa neraka) suara marahnya (neraka) yang menggelegak dan mengeluh (Furqan:12).
Kata Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, maksudnya:Kami bersama-sama Rasulullah saw, maka kami mendengar suara yang sangat hebat lagi dahsyat. Beliau bersabda: “Tahukah kamu sekalian suara apakah ini”.Kami menjawab: “Allah dan Rasulnya yang lebih mengetahui”.Beliau bersabda: “Ini adalah suara batu yang dilontarkan ke dalam neraka Jahannam sejak 70 tahun dan sekarang baru sampai ke dasarnya.
Dan apabila mereka dihumbankan ke tempat yang sempit di dalam Neraka itu, dengan keadaanmereka dibelenggu, menjeritlah mereka di sana meminta sejenis kebinasaan (yang melepaskan dari azab itu). (Furqan:13)
“…mereka dihumbankan ke tempat yang sempit di dalam Neraka itu”…. Neraka sebenarnya adalah satu tempat yang luas, 70 tahun perjalanan ke dasarnya dan 40 tahun perjalanan lebarnya (atau temboknya). Neraka yang luas itu menjadi sempit kerana orang yang masuk ke dalamnya saiz mereka berubah menjadi besar.
Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata:Rasulullah saw. bersabda: Gigi geraham atau gigi taring orang kafir itu sebesar gunung Uhud dan kekasaran kulitnya adalah sejauh perjalanan tiga hari. (Shahih Muslim No.5090)
Neraka yang luas itu menjadi sempit kerana ramai yang masuk ke dalamnya.
Qaf [30] : (Peringatkanlah manusia) akan hari Kami bertanya kepada Neraka Jahanam:Adakah engkau sudah penuh? Dia menjawab: Adakah lagi sebarang tambahan?
“….dengan keadaan mereka dibelenggu”
Al-Haqqa [30 : (Lalu diperintahkan malaikat penjaga Neraka): Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia. Al-Haqqa [31] Kemudian bakarlah dia di dalam Neraka Jahiim.Al-Haqqa [32] Selain dari itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)! Al-Haqqa [33] Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar.
“…menjeritlah mereka di sana meminta sejenis kebinasaan (yang melepaskan dari azab itu).”. Mereka meminta agar dimatikan semula kerana tidak tahan dengan seksaan azab neraka itu.
Furqan [14] : (Lalu dikatakan kepada mereka): Janganlah kamu menjerit-jerit meminta pada hari ini sejenis kebinasaan sahaja, tetapi mintalah kebinasaan sebanyak-banyaknya (kerana azab yang menunggu kamu di sini banyak jenisnya).
Furqan [15] : Bertanyalah (kepada mereka): Adakah (azab seksa Neraka) yang demikian itu lebih baik atau Syurga yang kekal, yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa? Syurga yang sedia diuntukkan bagi mereka sebagai balasan dan tempat kembali.