Anas bin Hârist meriwayatkan: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Sesungguhnya anakku ini-yakni Hussin akan dibunuh di tempat yang bernama Karbala. Sesiapa yang mengalami peristiwa itu nanti, maka hendaklah dia menolongnya.’
Semasa terkepung di Karbala, Sayyidina Hussin telah menyuruh para sahabat pulang kerana beliau mengatakan bahawa perang ini adalah ke atasnya dan bukanlah ke atas mereka. Lalu para sahabat menjawab “Apa yang hendak kami katakan kepada Rasulullah di hari Kiamat nanti jikalau kami meninggalkan engkau”. Mereka yakin akan pertemuan di hari Kiamat nanti.
Setelah Sayyidina Ali terkorban dalam peperangan di Karbala, kepalanya dipenggal dan dicucuk di atas sebatang lembing untuk dibawa pulang. Dalam perjalanan pulang, rombongan tentera yang membunuh beliau telah singgah di sebuah gereja untuk berehat. Sebelum itu paderi atau pendita Nasrani yang berada di situ telah melihat hujan darah selama 3 hari turun di sekitar tempatnya.
Pendita Nasrani yang berada di gereja yang dilalui rombongan itu, terkejut melihat kepala manusia yang tercucuk pada hujung lembing, lalu dia bertanya siapakah orang yang dipenggal kepalanya itu. Ketika mendapat jawapan bahawa kepala itu adalah kepala Sayyidina Hussin, cucu Rasulullah s.a.w.. terlintas dihatinya bahawa inilah punca hujan darah yang turun sebelum ini. Lalu dia meminta agar kepala Sayyidina Hussin dipinjamkan kepadanya untuk tempoh semalaman di dalam bilik di gerejanya. “Aku sedia membayar 80,000 dirham dan aku akan pulangkan kepala ini keesokkan hari!”, katanya lagi. Paderi itu juga memberikan bilik untuk tentera-tentera itu berehat pada malam itu sebelum meneruskan perjalanan pulang pada keesokkannya.
Setelah berbincang sesama mereka, akhirnya permintaan paderi itu diterima oleh rombongan tentera itu. Kepala Sayyidina Hussin dibawa masuk oleh paderi itu ke dalam biara, kemudian dibersihkan dan diletakkan/dicurahkan dengan wangian. Semalaman suntuk paderi itu menangis melihat kepala Sayyidina Hussin hingga keesokan paginya dia melafazkan syahadah dan memeluk Islam setelah azan dilaungkan disebuah masjid yang berhampiran, kerana pada malam harinya dia telah menyaksikan cahaya terang memancar ke langit dari kepala Sayyidina Hussin.
Keesokkan paginya kepala Sayyidina Hussin dipulangkan oleh Paderi itu dan berangkatlah tentera itu untuk pulang. Di dalam perjalanan, mereka berhenti untuk membahagikan wang 80,000 dirham itu. Wang itu diletakkan didalam sebuah karung. Setelah dibuka karung itu, didapati wang itu telah bertukar menjadi tembikar dan terdapat ayat quran yang bermaksud:
….dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali. (Ash-Shuara: 227)Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku). (Ibrahim:42)